Saya adalah seorang Islam dan jika ada juga label yang mahu diberikan, saya hanya mengharapkan dapat dilabelkan sebagai ekstrimis islam. Kenapa?
Islam adalah pegangan saya, maka saya perlu ekstrim dengan kepercayaan agama saya sebagai naskhah lengkap merentasi zaman. Namun, eksterim saya kepada agama tidak menyekat saya untuk meneroka pelbagai pandangan-pandangan dan gumpulan perspektif yang dilontarkan oleh segenap masyarakat dunia. Kerana ekstrimnya saya kepada agama inilah yang membuka mata dan hati untuk meneliti seluruh komentar yang terapung, baik yang bersifat evergreen, masak, separa masak ataupun marhaenis.
Bukankah saya pernah mendengar hadis Rasulullah S.A.W
Kebijaksanaan itu adalah sesuatu barang tercicir (yang hilang) bagi orang-orang yang beriman. Maka di mana sahaja ia menjumpainya, maka hendaklah ia mengambilnya.
Maka, apabila dimohon bicara soal Palestine, saya tidak segan-segan untuk membelek pandangan mantan presiden USA Jimmy Carter kerana itulah menandakan sifat ekstrimis Islam saya. Malah, ekstrimnya saya kepada Islam juga mewajibkan saya untuk mendalami perspektif Palestin sebagai pemilikan ummah Islam.
Ekstrim saya kepada Islam juga menjadikan saya sanggup menyelongkar pandangan ilmu ekonomi moden Adam Smith melalui opus 'The Wealth of Nation', walaupun yang dibaca hanyalah kupasan 200 mukasurat oleh bekas pelajarnya, P.J. O'Rourke. Ekstrim saya kepada Islam juga sangat memerlukan saya untuk meneliti persoalan penyelesaian ekonomi ummah ini dari sudut yang lain juga.
Ekstrim saya kepada Islam juga akan membawa saya untuk meneliti kumpulan-kumpulan maklumat yang ada dalam koleksi The Libertarian Reader kerana ianya memudahkan saya untuk memahami pandangan tersohor daripada John Locke hinggalah kepada Milton Friedman. Tetapi ekstrim saya kepada Islam ini juga akan menjadi timbangan utama untuk membenarkan kepercayaan mereka tidak akan sebegitu mudah menghasuti pemikiran saya.
Saya suka sastera, dan ianya telah terbukti. Jika sastera bernuansakan Islamik nusantara, nama Hamzah Fansuri seraya akan terlintas. Tetapi kepercayaan terhadap agama ini tidak langsung menyekat saya untuk membongkar karya Shakespeare daripada Hamlet kepadalah Romeo&Juliet dan meneliti dialog yang telah dibahaskan sebegitu lama.
Saya ekstrim pada Islam, dan saya perlu ingatkan diri saya untuk mentadabbur sirah yang telah ditunjukkan oleh Nabi dan sahabah serta nukilan ulama silam dan kontemporari kerana itulah sebaik-baik ilmu yang memberikan cahaya.
Tidak salah kalau saya hanya mengharapkan untuk mendapat label ekstrimis Islam, bukan? Dan saya tidak suka dilabel melainkan dengan label Islam kerana itulah kebanggaan yang perlu dikongsi bersama sehingga ke akhir hayat. Saya adalah ekstrimis Islam, tetapi apalah yang ada pada label?
What's in a name? that which we call a rose, By any other name would smell as sweet; So Romeo would, were he not Romeo call'd, Retain that dear perfection which he owes Without that title. Romeo, doff thy name, And for that name which is no part of thee,Take all myself.
No comments:
Post a Comment